SMD Semiconductor Kongsi Potensi GaN, Bawa Aspirasi Sarawak Di Pentas Tenaga Global
BARCELONA: Penyertaan hari kedua di Mobile World Congress 2026 (MWC 2026) menyaksikan SMD Semiconductor terus memperkukuh kedudukannya dalam industri teknologi global menerusi sesi perkongsian strategik bertajuk ‘Powering the Future with GaN: From Sarawak to Global Energy Systems’ yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil.
Sesi yang berlangsung di reruai SMD, Pavilion Sarawak itu menarik penyertaan pihak berkepentingan daripada pelbagai latar belakang termasuk pemain industri semikonduktor antarabangsa serta wakil Kerajaan Catalonia.
Kehadiran pelbagai delegasi ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap potensi teknologi Gallium Nitride (GaN) dalam memacu transformasi sistem tenaga global.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa, Shariman menekankan kepentingan GaN sebagai teknologi teras dalam bidang elektronik kuasa berkecekapan tinggi, khususnya dalam aplikasi tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik dan infrastruktur grid pintar.
Beliau menjelaskan bahawa keupayaan GaN menawarkan kecekapan tenaga lebih tinggi, saiz komponen lebih kecil serta prestasi haba yang lebih baik menjadikannya pemangkin utama kepada peralihan landskap tenaga masa depan.
Sesi interaktif tersebut turut membuka ruang dialog dua hala antara SMD dan peserta antarabangsa, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta meningkatkan keterlihatan Sarawak sebagai hab teknologi berimpak tinggi di rantau ini.
Selain aspek teknologi, Shariman turut menggariskan hala tuju dan aspirasi jangka panjang SMD Semiconductor dalam membina ekosistem semikonduktor yang mampan dan berdaya saing global.
Penekanan turut diberikan kepada pembangunan bakat tempatan melalui pelaksanaan ‘Semiconductor Mastery Programme’ yang bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri.
Dalam usaha memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan, SMD turut memeterai kerjasama strategik bersama University of Bristol serta Yayasan Sarawak.
Kolaborasi ini dijangka mempercepat pemindahan pengetahuan, meningkatkan kepakaran teknikal serta membuka peluang lebih luas kepada bakat muda Sarawak untuk terlibat secara langsung dalam industri semikonduktor global. -EDISI UKAS