2026 'Delivery Year', Merealisasikan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Sarawak
KUCHING: Tahun 2026 disifatkan sebagai 'delivery year' bagi Kerajaan Sarawak dalam usaha merealisasikan penyampaian perkhidmatan serta memastikan segala perancangan pembangunan negeri khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, tahun ini merupakan titik peralihan penting apabila fasa persediaan perlu diterjemahkan kepada prestasi sebenar, manakala kredibiliti penyampaian kerajaan akan diukur berdasarkan hasil sebenar di lapangan.
Menurut beliau, seperti yang ditegaskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, tahun 2026 merupakan tahun penentu kepada penyampaian Kerajaan Sarawak.
“Tahun inilah yang akan menentukan sama ada segala perancangan di bawah RMK-13 dan PCDS 2030 benar-benar dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat.
“Kita harus mengakui bahawa cabaran yang kita hadapi pada hari ini semakin kompleks. Selain bebanan tugas yang meningkat, kita turut berdepan dengan suasana global yang tidak menentu.
“Ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan antarabangsa serta gangguan terhadap rantaian bekalan global memberi tekanan kepada ekonomi dunia dan Sarawak sudah pasti akan turut menerima kesannya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya dalam Amanat Bulanan Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi bulan Mac 2026.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, suasana VUCA, iaitu Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity, menuntut anggota Perkhidmatan Awam Sarawak untuk bertindak dengan lebih strategik, tangkas dan bersedia.
Justeru, beliau menegaskan prinsip 3R, iaitu Revisit, Rethink dan Recharge perlu terus dijadikan panduan dalam memperkukuh keupayaan organisasi, memperkemas cara kerja serta memastikan setiap tindakan benar-benar berfokus kepada penyampaian yang berkesan.
“Sebagai contoh, dalam kerja-kerja penyediaan reka bentuk bangunan dan ruang pejabat awam, pendekatan yang diambil tidak boleh lagi hanya bersandarkan pelan yang telah ditetapkan semata-mata.
“Penyediaan ruang perkhidmatan bukan sekadar melibatkan struktur fizikal, tetapi juga merupakan sebahagian daripada sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Jika kemudahan yang disediakan tidak mesra pengguna dan tidak mengambil kira keperluan sebenar rakyat, maka mutu penyampaian perkhidmatan juga tidak akan mencapai tahap yang diharapkan,” tegas beliau lagi.
Sehubungan itu jelasnya, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai Daerah, arkitek, pereka dalaman serta jurutera daripada agensi pelaksana perlu turun padang bagi melihat sendiri keadaan sebenar serta memahami keperluan setempat.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting agar input yang diperoleh di lapangan dapat diterjemahkan kepada reka bentuk yang lebih sesuai, praktikal dan berkesan.
Di peringkat jabatan pula, katanya, ketua jabatan perlu lebih proaktif dalam mengurus pelaksanaan projek.
“Keupayaan untuk menyelesaikan isu yang merentasi agensi dan jabatan dalam memacu kemajuan projek di lapangan merupakan ukuran penting dalam keberkesanan tadbir urus pelaksanaan projek.
“Dalam mendepani cabaran kerja yang semakin kompleks, budaya kerja dalam Perkhidmatan Awam Sarawak perlu terus diperkukuh.
“Budaya kerja ini perlu bersifat lebih kolaboratif, lebih terselaras dan saling melengkapi. Ini bermakna kita tidak boleh lagi bekerja secara silo kerana penyelesaian yang lebih tepat, praktikal dan berkesan hanya dapat dihasilkan melalui usaha kolektif,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menegaskan sebagai ejen pembangunan, anggota Perkhidmatan Awam Sarawak perlu memahami hala tuju, inisiatif serta keutamaan kerajaan.
Menurut beliau, tanggungjawab untuk menjayakan agenda pembangunan tidak terletak pada satu kelompok sahaja, sebaliknya merentasi pelbagai agensi dan jabatan.
“Komunikasi bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi memastikan dasar kerajaan difahami secara seragam dari peringkat pusat hingga ke lapangan serta diterjemahkan kepada tindakan yang boleh dilaksanakan.
“Tanpa penyelarasan yang baik, data hanya akan kekal sebagai laporan dan bukan menjadi asas kepada keputusan yang berkesan,” katanya lagi.
Mengakhiri amanatnya, beliau menegaskan bahawa walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global serta ekspektasi rakyat yang semakin meningkat, beliau yakin dengan semangat ‘SCS One Team’, Perkhidmatan Awam Sarawak mampu terus berdiri teguh sebagai satu pasukan yang padu.-EDISI UKAS