Projek ‘Proposed New Roof Over Simunjan Esplanade’ Masih Berjalan Seperti Dirancang
SIMUNJAN: Projek pembangunan ‘Proposed New Roof Over Simunjan Esplanade’ yang bernilai RM2.18 juta disahkan masih berjalan mengikut perancangan dan tidak dihentikan seperti yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial baru-baru ini.
Perkara itu dijelaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris semasa sidang media selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat khas bagi membincangkan status semasa projek berkenaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Simunjan, pada Khamis.
Mesyuarat tersebut melibatkan Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Sabli Razak, jurutera, pihak perunding serta kontraktor bagi meneliti perkembangan terkini projek yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Simunjan (MDS) sebagai agensi pelaksana.
Menurut beliau, ketiadaan aktiviti fizikal yang ketara di tapak binaan ketika ini adalah disebabkan sebahagian besar material projek sedang disiapkan di peringkat kilang sebelum dihantar ke tapak untuk proses pemasangan.
“Material tersebut dibuat sepenuhnya di kilang dan hanya akan dibawa ke Simunjan untuk proses pemasangan apabila siap kelak,” katanya.
Mengulas mengenai kelewatan yang berlaku, beliau menjelaskan bahawa permintaan tinggi dalam industri pembinaan di seluruh Sarawak ketika ini turut memberi kesan kepada tempoh pembekalan material.
Katanya, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan secara serentak oleh kerajaan Sarawak menyebabkan kilang-kilang di sekitar Kuching perlu membahagikan kapasiti pengeluaran kepada ramai kontraktor yang terlibat.
Dalam pada itu, pihak kontraktor memaklumkan bahawa material berkaitan dijadualkan tiba di tapak projek pada 9 Mac ini bagi membolehkan kerja pemasangan diteruskan.
Beliau turut menafikan dakwaan tular yang mendakwa kontraktor melarikan diri serta membawa keluar mesin dari tapak projek.
"Mesin penanam cerucuk (piling) telah dikeluarkan kerana fasa kerja berkenaan telah selesai dan akan digantikan dengan penggunaan kren bagi melaksanakan fasa kerja seterusnya," jelas beliau.
Sehubungan itu, tempoh siap sepenuhnya projek yang pada asalnya dijadualkan pada 6 April kini dijangka siap sepenuhnya pada 24 Julai depan.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai khususnya warga net agar tidak membuat spekulasi melulu atau menyebarkan maklumat tidak sahih tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Masyarakat juga diminta untuk terus bersabar serta memberi ruang kepada pihak kontraktor menyiapkan baki kerja sebaik sahaja material projek tiba di tapak nanti. -EDISI UKAS