Projek Infak Baju Raya Al Bait Bantu 300 Keluarga di Lawas
LAWAS: Kira-kira 300 keluarga di daerah ini menerima manfaat apabila lebih 10,000 helai pakaian diagihkan menerusi Projek Infak Baju Raya Al Bait Daerah Lawas yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 Februari hingga 2 Mac 2026.
Inisiatif anjuran Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad (KOOPBAIT) itu diadakan dari jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang bertempat di Pejabat Perhubungan TBS Lawas.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi terlibat dalam menyantuni golongan memerlukan, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.
Pengagihan pakaian hasil sumbangan orang ramai itu memberi peluang kepada penerima untuk membuat persiapan hari raya dalam suasana lebih ceria dan bermakna.
Menurut pihak penganjur, projek tersebut merupakan kali ketiga dilaksanakan hasil kerjasama YKAB dan TBS Daerah Lawas, sekali gus memperkukuh jaringan kebajikan antara institusi dan komuniti setempat.
Sejak diperkenalkan pada Ramadan 2023, projek berkenaan telah berjaya mengagihkan lebih 78,000 pasang pakaian kepada kira-kira 8,200 penerima di seluruh Sarawak.
Pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu yang digerakkan dalam memperluas manfaat kepada golongan kurang berkemampuan.
Kerjasama erat antara agensi pelaksana dan masyarakat dalam menjayakan projek ini menyerlahkan semangat kebersamaan yang menjadi teras pembangunan sosial negeri.
Inisiatif seumpama ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah berperanan sebagai platform berterusan dalam memperkasa agenda kebajikan serta menyemai budaya berinfak dalam kalangan masyarakat.
Ia juga diharap mampu memperluas capaian bantuan pada masa hadapan, selaras dengan aspirasi memperkukuh kesejahteraan komuniti secara inklusif dan mampan.-EDISI UKAS