Lan Berambeh Sungkei Belia Asajaya Perkukuh Ukhuwah Komuniti
KOTA SAMARAHAN: Program Lan Berambeh Sungkei Belia Asajaya 2026 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan belia di daerah Asajaya apabila ia dijangka menghimpunkan penyertaan besar komuniti setempat.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran program tersebut, satu sesi raptai penuh telah diadakan di Kompleks Sukan Asajaya pada Jumaat sebagai persediaan akhir sebelum majlis berlangsung.
Raptai berkenaan melibatkan semakan menyeluruh terhadap aspek logistik, teknikal serta perjalanan atur cara majlis bagi memastikan program dapat dilaksanakan secara teratur dan memberi pengalaman terbaik kepada para peserta.
Tinjauan di lokasi mendapati tahap koordinasi antara agensi serta pihak penganjur berada dalam keadaan baik dan teratur, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam menjayakan program berskala komuniti itu.
Program berkenaan bukan sahaja menjadi medan berbuka puasa bersama, malah turut berperanan sebagai ruang memperkukuh ukhuwah, menyemai semangat kebersamaan serta menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan di daerah Asajaya.-EDISI UKAS