1,000 Bubur Lambuk Diagih Kepada Penduduk Dalam Jelajah Amal Ramadan Wanita PBB
KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada penduduk setempat dalam Program Jelajah Amal Ramadan anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Meranek, di sini pada Jumaat.
Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, yang turut melakukan simbolik pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Wanita PBB Kampung Meranek yang berjaya menganjurkan program tersebut walaupun dalam tempoh persediaan yang singkat.
Menurutnya, bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan di samping memperkukuh hubungan silaturahim dalam masyarakat.
Beliau berkata, program seperti pengagihan bubur lambuk bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan, malah menjadi medium untuk merapatkan ukhuwah dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Tambahnya, Wanita PBB di kawasan DUN Muara Tuang turut melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan termasuk program ziarah kasih bagi membantu golongan kurang berkemampuan agar mereka turut dapat merasai kegembiraan menjelang Aidilfitri.
Pada masa sama, Datuk Rubiah turut mengajak masyarakat untuk terus memupuk budaya berkongsi rezeki dan saling membantu, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Beliau turut menjemput orang ramai menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri yang akan diadakan pada 28 Mac 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Hadir sama Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Muara Tuang, Rozni Paee, Penghulu Kampung Langsat Meranek, Asi Arbi, Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Aziz Mohamad, Ketua Kaum Kampung Langsat Meranek, Arshat Bujang serta Ketua Kaum Meranek Lot Baru, Azmi Jolkipli.-EDISI UKAS