180 Golongan Sasar KPWKM Terima Sumbangan Aidilfitri
KUCHING: Seramai 180 individu melibatkan kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf serta anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri sempena Majlis Ramah Mesra Ramadan Bersama Kumpulan Sasar yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Jumaat.
Semasa berucap, beliau berkata, majlis tersebut diadakan sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan di samping memupuk nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, Ramadan merupakan bulan yang mengingatkan masyarakat tentang kepentingan empati dan tanggungjawab bersama dalam memastikan golongan kurang bernasib baik terus diberi perhatian serta sokongan.
“Ia mengajar kita untuk merasai apa yang dirasai oleh mereka yang kekurangan. Ia mengajar kita erti pengorbanan. Dan yang
paling indah, ia mengajar kita erti hidup bersama-sama.
“Inilah juga bulan di mana kita diingatkan semula tentang nilai-nilai yang paling asas dalam kehidupan — kasih sayang, kebersamaan, dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Santubong itu turut merakamkan penghargaan kepada para petugas, penjaga serta semua pihak yang komited menjaga kebajikan penghuni institusi di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, pengorbanan dan dedikasi mereka amat dihargai dan diharap menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Rizal Il-Ehzan Fadip Azim, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, serta Perunding Operasi McDonald's Malaysia Muhammad Shukri Ismail.-EDISI UKAS