Jabatan Tanah dan Survei Samarahan Agihkan 550 Pek Bubur Lambuk
KOTA SAMARAHAN: Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan telah mengagihkan sebanyak 550 pek bubur lambuk kepada warga jabatan, komuniti setempat serta beberapa agensi kerajaan di sekitar Bahagian Samarahan sempena bulan Ramadan.
Program anjuran Protem Persatuan Islam Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan dengan kerjasama pengurusan surau jabatan itu merupakan antara pengisian tahunan yang bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan melalui amalan berkongsi rezeki.
Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja menghidupkan tradisi penyediaan bubur lambuk pada bulan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan antara warga jabatan dengan masyarakat.
“Program ini merupakan aktiviti tahunan yang sentiasa mendapat sambutan baik. Ia bukan sekadar menyediakan juadah berbuka puasa, tetapi turut melambangkan perkongsian rezeki serta semangat muafakat dalam kalangan warga jabatan dan komuniti,” katanya ketika ditemui semasa program itu pada Jumaat.
Selain diagihkan kepada kakitangan jabatan dan orang awam, bubur lambuk tersebut turut diserahkan kepada beberapa masjid sekitar Samarahan iaitu Masjid Kampung Baru, Masjid Kampung Tanjung Bundong, Masjid Kampung Muara Tuang, Masjid Kampung Sindang dan Masjid Kampung Meranek.
Agihan turut melibatkan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR )Samarahan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Samarahan, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Samarahan, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan serta Mahkamah Syariah Samarahan. -EDISI UKAS