Pembangunan Samarahan Perlukan Kesabaran, Kerjasama Masyarakat
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan pesat yang sedang berlaku di Kota Samarahan memerlukan kerjasama serta kesabaran masyarakat, khususnya apabila melibatkan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti naik taraf jalan raya dan pembinaan sistem pengangkutan moden di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pelaksanaan projek pembangunan tersebut sememangnya membawa sedikit cabaran sementara kepada penduduk, terutama dari segi kesesakan lalu lintas, namun ia merupakan langkah penting bagi memastikan kawasan berkenaan terus berkembang sebagai bandar yang lebih terancang dan moden.
“Perubahan pembangunan di Samarahan memerlukan sedikit pengorbanan daripada masyarakat, terutama dari segi kesesakan jalan raya buat sementara waktu.
“Namun semua ini adalah demi memastikan kawasan ini berkembang menjadi bandar yang lebih terancang, moden dan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program pengagihan bubur lambuk dan kurma secara percuma di Bazar Ramadan Uptown Desa Ilmu yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), pada Jumaat.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, komuniti setempat serta para peniaga di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, bulan Ramadan turut mengajar umat Islam tentang nilai kesabaran, keinsafan serta semangat berkongsi rezeki dengan golongan lain dalam masyarakat.
“Program seperti pengagihan bubur lambuk ini sangat baik kerana bukan sahaja membantu menyediakan juadah berbuka kepada masyarakat, malah mengeratkan lagi hubungan antara pihak berkuasa tempatan dengan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif MPKS menganjurkan program tersebut yang disifatkan sebagai usaha mendekati masyarakat serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Sementara itu, Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali berkata penganjuran program tersebut merupakan antara inisiatif pihak majlis untuk menyemarakkan bulan Ramadan di samping memperkukuhkan hubungan antara MPKS dengan komuniti setempat.
Menurutnya, pengagihan bubur lambuk dan kurma itu mencerminkan nilai kebersamaan, keprihatinan serta semangat saling membantu yang sentiasa dipupuk dalam kalangan masyarakat.
“Melalui program sebegini, kita berharap hubungan antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, komuniti serta para peniaga dapat terus diperkukuhkan selain memupuk semangat berkongsi rezeki dalam bulan yang penuh rahmat ini,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS Gustian Durani dan Pengerusi Persatuan Penjaja Uptown Desa Ilmu Aziman Pon. -EDISI UKAS