100 Penduduk Sekitar Padawan Terima Bubur Lambuk SABERKAS Mambong
PADAWAN: Seramai 100 penduduk daripada beberapa kampung sekitar Daerah Kecil Padawan menerima sumbangan bubur lambuk menerusi Majlis Pengagihan Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Mambong, pada Jumaat.
Program kebajikan bersempena bulan Ramadan itu diketuai oleh Pengerusi SABERKAS Cawangan Mambong, Julius Scott Sapong bersama barisan Ahli Exco SABERKAS yang berganding bahu menjayakan aktiviti berkenaan dalam usaha menyemarakkan semangat kebersamaan serta budaya berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil yang hadir menyokong penganjuran program kemasyarakatan tersebut.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha SABERKAS dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Agihan bubur lambuk itu melibatkan penerima dari beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Jawa Gunda, Kampung Bayur, Kampung Timurang, Kampung Semadang, Kampung Gerung dan Kampung Karu.
Penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Ramadan, malah menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin komuniti dan masyarakat setempat.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen SABERKAS dalam memperkukuh perpaduan komuniti serta terus memainkan peranan aktif dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan demi kesejahteraan rakyat sepanjang bulan Ramadan. -EDISI UKAS