Agihan 1,000 Pek Bubur Lambuk Semarak Ramadan Di Lingga
LINGGA: Semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat jelas terpancar menerusi penganjuran Program Gotong-Royong dan Pengagihan Bubur Lambuk anjuran Pejabat Daerah Lingga dengan kerjasama PEMADAM Daerah Lingga serta KMKK Islam Daerah Lingga.
Dalam program pada Jumaat, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk berjaya disediakan sebelum diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh kawasan Kampung Lingga.
Simbolik penyerahan bubur lambuk telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani bersama pegawai-pegawai Pejabat Daerah Lingga.
Pengagihan bubur lambuk disalurkan melalui Ketua Kaum sebagai wakil setiap kampung bagi memastikan proses agihan berjalan dengan lebih teratur serta dapat disampaikan secara menyeluruh kepada penduduk setempat.
Selain aktiviti gotong-royong dan pengagihan bubur lambuk, program tersebut turut diselitkan dengan Program Walking Message “Jerat Dadah” melalui pengedaran risalah berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh PEMADAM Daerah Lingga itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman penyalahgunaan dadah di samping menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras gejala tersebut.
Program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, malah menjadi platform penting dalam menyampaikan mesej kesedaran sosial kepada masyarakat.-EDISI UKAS