Kerajaan Laksana Projek Feri 24-Kereta di Nanga Tulie, Manfaat 33 Rumah Panjang
KAPIT: Kerajaan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur pengangkutan luar bandar di Bahagian Kapit menerusi projek pembinaan kemudahan pendaratan feri 24-kereta di Nanga Tulie, Batang Rajang.
Majlis pecah tanah projek Cadangan Operasi Feri 24-Kereta di persimpangan Nanga Tulie telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi di tapak projek tersebut pada Jumaat.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu melibatkan pembinaan kemudahan pendaratan feri di kedua-dua tebing sungai termasuk ramp konkrit bertetulang, jalan pendekatan serta kemudahan asas.
Dengan kos kontrak RM23.49 juta, projek tersebut dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan, bermula 3 September 2025 hingga 2 Mac 2027.
Apabila siap kelak, perkhidmatan feri ini mampu membawa sehingga 24 kenderaan pada satu masa dan dijangka memberi manfaat kepada 33 rumah panjang serta dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin dan SK Ulu Pelagus.
Menurut Dato’ Sri Alexander, projek tersebut bukan sahaja meningkatkan mobiliti penduduk, malah menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat dengan memperbaiki hubungan pengangkutan antara kawasan seberang sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang pula berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut jadual agar manfaatnya dapat dinikmati penduduk setempat secepat mungkin.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit serta Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kandawang.— EDISI UKAS