Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi & Premier Sarawak Serikan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 2026
SRI AMAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir bagi menyerikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M di Masjid Bahagian Sri Aman pada Jumaat.
Premier Sarawak tiba di masjid tersebut sekitar jam 5.55 petang bersama anakandanya, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.
Manakala Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi tiba bersama isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sekitar jam 6.00 petang.
Majlis dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Sarip Adul dengan tajuk 'Al-Quran Memartabatkan Ilmu, Melestarikan Alam'.
Usai tazkirah, Premier Sarawak telah menyampaikan amanatnya sebelum bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 2026, Jubni Sulong sehingga azan Maghrib berkemundang.
Tetamu yang hadir turut berbuka puasa bersama di dalam masjid bersama umat Islam Sri Aman yang hadir sebelum mendirikan solat Maghrib.
Majlis diteruskan lagi dengan tetamu kenamaan serta yang lain bergerak ke meja makan untuk menikmati juadah berbuka puasa.
Selesai menjamu selera, tetamu kenamaan terus menunaikan Solat Isyak diikuti dengan Solat Sunat Tarawih sebelum menghabiskan majlis dengan jamuan moreh.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi