Penghayatan Nuzul Al-Quran Perkukuh Nilai Kerohanian Masyarakat
KOTA SAMARAHAN: Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan bagi tahun 1447H/2026M menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan al-Quran serta memupuk nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat, khususnya di Daerah Asajaya.
Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan (JAIS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Najah sebagai sebahagian usaha memperkasa kefahaman umat Islam terhadap mukjizat al-Quran serta peranannya sebagai panduan utama dalam kehidupan.
Antara pengisian utama majlis ialah Ceramah Khas Sempena Nuzul al-Quran yang menekankan kepentingan al-Quran sebagai kompas dalam membentuk sahsiah dan integriti diri.
Ceramah tersebut turut mengupas peranan al-Quran sebagai agen transformasi sosial yang mengajak umat Islam untuk mendalami serta mengamalkan ajaran suci tersebut dalam setiap aspek kehidupan seharian.
Pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi “Islam Amalan Hidup” dalam usaha melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik al-Quran, malah mampu menghayati hikmah di sebalik penurunannya.
Agenda program bermula dengan aktiviti pengagihan bubur lambuk kepada kariah masjid selepas solat Jumaat.
Program kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa, diikuti solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat sunat Tarawih yang mencerminkan semangat kebersamaan antara kepimpinan daerah dan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, sekali gus memperlihatkan sinergi erat antara pentadbiran daerah, kepimpinan masyarakat dan institusi masjid dalam memperkukuh pembangunan sahsiah komuniti.
Turut hadir ialah Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi yang menzahirkan komitmen berterusan agensi agama dalam memperkasa program pembangunan modal insan berteraskan nilai Islam di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS