SKAS Inisiatif Kerajaan Sarawak Bantu Rakyat Pengenalan
Pengenalan
Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan bantuan bagi membeli barangan keperluan asas. SKAS juga adalah langkah intervensi langsung Kerajaan Sarawak dalam menangani peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan yang memberi tekanan kepada rakyat, terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah.
Kenaikan harga barangan telah memaksa sesetengah keluarga terpaksa membuat pilihan antara membeli barangan makanan ataupun keperluan lain yang sama penting untuk kehidupan. Semestinya, bantuan SKAS ini membolehkan rakyat membelanjakan pendapatan mereka untuk membeli barangan atau perkhidmatan lain yang diperlukan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing seperti pendidikan anak-anak, pengangkutan dan kesihatan.
Dalam pada itu, inisiatif SKAS ini disalurkan secara digital melalui S Pay Global (SPG) untuk memastikan penyaluran bantuan barangan keperluan asas sampai kepada golongan sasar seperti isi rumah, warga emas dan golongan bujang yang layak. Golongan isi rumah menerima RM800, diikuti warga emas RM400 dan bujang RM250.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam sidang media selepas Pelancaran SKAS Peringkat Sarawak di Serian pada 18 Februari 2025, yakin bantuan SKAS ini dapat meringankan beban rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.
Seramai 886,288 penerima yang mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) layak menerima SKAS 2025 dengan peruntukan sebanyak RM450 juta. Secara keseluruhan, dianggarkan lebih daripada 888,000 individu yang layak telah menerima bantuan SKAS melalui aplikasi SPG. Mereka telah menerima bantuan SKAS dengan nilai antara RM250 hingga RM800.
Seperti STR, SKAS mempunyai syarat kelayakannya sendiri dengan keutamaan pemohon mestilah rakyat Sarawak yang menetap di Sarawak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah. Syarat selebihnya sama seperti STR untuk memastikan golongan yang benar-benar layak menerima bantuan SKAS.
Dalam memastikan golongan yang layak mendapat bantuan SKAS, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan sesi libat urus bermula 18 Januari hingga 9 Mac di 98 lokasi seluruh Sarawak bagi membantu penerima SKAS mendaftar dengan SPG agar mereka bersedia menerima SKAS melalui telefon bimbit masing-masing. Turut diperluaskan pendaftaran SPG kepada peniaga yang meliputi pasaraya dan peruncit di seluruh Sarawak.
Secara keseluruhan, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM480.2 juta dengan kebanyakan mereka yang menerima SKAS ini merupakan penerima STR.
Pelaksanaan SKAS 2026
Tahun ini merupakan tahun kedua pelaksanaan SKAS sejak mula dilancarkan pada 18 Februari 2025. Ini bukan sekadar kesinambungan program SKAS, tetapi bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Pada tahun ini seramai 857,814 layak menerima bantuan SKAS berdasarkan data penerima STR Fasa 1 2026. Daripada jumlah tersebut, 395,802 terdiri daripada kategori isi rumah, 335,591 daripada kategori bujang dan 126,421 warga emas tanpa pasangan.
Menariknya pada tahun 2026, Kerajaan Sarawak telah meningkatkan bantuan kewangan SKAS. Isi rumah akan menerima peningkatan sokongan tahunan sebanyak RM150, daripada RM800 kepada RM950. Warga emas tanpa pasangan atau anak, berpendapatan RM5,000 dan ke bawah pula, akan menerima peningkatan sebanyak RM100, daripada RM400 kepada RM500. Individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menikmati peningkatan sebanyak RM50, menjadikan bantuan mereka naik daripada RM250 kepada RM300.
Kenaikan bantuan itu menyebabkan tanggungan kewangan Kerajaan Sarawak meningkat. Pada peringkat pertama ini, penyaluran berjumlah RM179.6 juta, peringkat kedua penyaluran berjumlah RM179.6 juta dan peringkat ketiga penyaluran berjumlah RM180.6 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM539.8 juta. Bantuan SKAS ini akan disalurkan kepada penerima dalam 3 peringkat iaitu pada 10 Mac, 7 Julai dan 10 November.
Keputusan SKAS disalurkan secara tiga peringkat adalah bagi menjamin bantuan sampai kepada golongan sasar secara berterusan sepanjang tahun. Malah, memastikan rakyat menerima sokongan kewangan secara berkala, dan bukan one-off sahaja.
Peningkatan ini menyebabkan Kerajaan Sarawak juga meningkatkan peruntukan sebanyak RM640 juta yang akan memberi manfaat lebih daripada sejuta penerima di bawah Belanjawan 2026.
Sekali lagi bantuan SKAS disalurkan melalui bantuan SPG bagi memastikan perbelanjaan bantuan khas ini untuk pembelian barangan keperluan asas makanan. Menerusi kaedah ini, memerlukan rakyat memahami kaedah penggunaan telefon pintar untuk membuat transaksi di pasaraya atau peruncit yang berdaftar dengan SPG.
Berdasarkan rekod, lebih daripada 90% penerima SKAS tahun ini telah mendaftar dengan SPG dan angka ini terus meningkat setiap hari. Di samping itu, lebih daripada 2,200 buah pasaraya dan peruncit telah mendaftar untuk menyertai programsejak ia dilancarkan pada tahun lepas. Ini bermakna penerima bantuan SKAS kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk berbelanja.
Menerusi SPG ia bukan sahaja membangunkan masyarakat tanpa tunai, tetapi juga dapat meningkatkan kecekapan, keselamatan dan senang digunakan untuk pembangunan ekonomi setempat. Dengan penglibatan perniagaan ini sebagai merchant SKAS, ia akan dapat memperkukuhkan ekosistem sektor peruncitan domestik dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.
Penggunaan SPG yang menyeluruh di seluruh Sarawak, membolehkan Kerajaan Sarawak dapat menyalurkan bantuan-bantuan lain secara dengan lebih bersasar dan berkesan kepada rakyat.
Pendapat Rakyat Tentang SKAS
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), keputusan Kerajaan Sarawak meningkatkan nilai bantuan SKAS pada tahun 2026 telah mendapat reaksi positif daripada rakyat negeri ini yang menyifatkan tindakan itu komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menjaga kebajikan rakyat khususnya dalam mendepani kos sara hidup.
Fadillah Sulaiman, 34, berkata kesinambungan serta penambahan jumlah bantuan tersebut amat membantu dalam mengurus perbelanjaan harian keluarga.
Menurutnya, bantuan SKAS ini memang sangat membantu rakyat Sarawak. Tahun lepas ramai yang memanfaatkannya termasuk dirinya sendiri yang merupakan antara penerima SKAS.
Apabila dimaklumkan bantuan ini diteruskan dan dinaikkan bagi 2026, ia jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu rakyat, terutama ketika kos perbelanjaan semakin meningkat.
Begitu juga Islindawati Dolhardi, 28, yang merupakan penerima SKAS bagi kategori bujang yang menyifatkan kenaikan bantuan tersebut sebagai satu kelegaan besar, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.
Kenaikan SKAS yang diumumkan oleh Premier Sarawak sebelum ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya dan turut membantu keluarga, terutama dari segi perbelanjaan harian.
Penyaluran SKAS menerusi e-dompet SPG turut mendapat pandangan positif daripada Olivia Querysmar Christus, 27, yang berpendapat penggunaan kaedah pembayaran digital itu memudahkan urusan harian tanpa perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak. Proses melalui S Pay Global terbukti mudah dan berpotensi menggalakkan orang ramai meneruskan penggunaan e-dompet.
Seorang lagi penerima SKAS, Abdullah Fahimi Abu Bakar, 25, berpandangan inisiatif tersebut turut membuka peluang kepada peniaga kecil untuk beralih ke arah sistem transaksi digital. Beliau mencadangkan agar kaunter bantuan bergerak (mobile helpdesk) diwujudkan di lokasi tumpuan awam seperti pasar bagi membantu golongan warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi telefon pintar.
Kesimpulan
Kerajaan Sarawak komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat. Dengan adanya pertambahan pendapatan, Kerajaan Sarawak boleh melaksana agenda pembangunan bagi memastikan kesejahteraan yang berterusan untuk semua rakyat Sarawak.
Justeru, Kerajaan Sarawak amat memerlukan sokongan dan kerjasama berterusan daripada seluruh rakyat Sarawak demi memastikan kestabilan dan kemajuan pembangunan Sarawak yang berterusan.
Menerusi kestabilan politik juga membolehkan Kerajaan Sarawak melaksanakan dasar dan strategi untuk kepentingan negeri dan rakyatnya serta memberi keyakinan kepada para pelabur dan peniaga untuk terus mengembangkan ekonomi Sarawak.