Tapak Pelupusan Sanitari Baharu Sokong Pengurusan Sisa Pepejal Lebih Sistematik Di Lundu
LUNDU: Cadangan pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari di Lot 219, Stungkor Land District dijangka menjadi langkah penting dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal di daerah Lundu agar dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, selamat dan mesra alam.
Perkara tersebut dimaklumkan semasa Taklimat Projek Pelupusan Sampah Majlis Daerah Lundu yang diadakan di Auditorium Majlis Daerah Lundu pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata pembangunan yang semakin rancak di kawasan Lundu membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun pada masa sama turut meningkatkan jumlah sisa pepejal yang perlu diurus dengan lebih teratur dan berkesan.
Menurut beliau, peningkatan pembangunan serta pertumbuhan komuniti setempat secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertambahan penghasilan sisa pepejal, justeru sistem pengurusan dan pelupusan sampah yang lebih moden dan tersusun amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar serta keselesaan penduduk terus terpelihara seiring dengan perkembangan pembangunan kawasan.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan lokasi bagi tapak pelupusan sampah perlu dilakukan dengan penuh penelitian dan berhati-hati supaya ia memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa negara maju seperti Singapura dan China telah mengaplikasikan teknologi moden dalam pengurusan sisa pepejal bagi memastikan proses pelupusan sampah dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan terancang.
Sehubungan itu, masyarakat turut disaran agar memainkan peranan bersama dalam menjaga kebersihan dengan mengamalkan disiplin membuang sampah secara lebih teratur serta menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan sistem pengurusan sisa pepejal di daerah ini.
Cadangan projek tapak pelupusan sanitari tersebut dilihat sebagai satu langkah strategik bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di daerah Lundu dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan mampan, selaras dengan keperluan pembangunan kawasan pada masa hadapan.
Taklimat berkenaan dihadiri kira-kira 25 peserta termasuk Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Lundu Lisa Mireg, wakil Pegawai Daerah Lundu SAO Ily Lyana Rosli serta Pemanca Allen Manium Enggang. - EDISI UKAS