Hari Keluarga Berawan Sarawak Perkukuh Silaturahim, Pelihara Identiti Komuniti Minoriti
MIRI: Program Hari Keluarga Persatuan Berawan Sarawak yang berlangsung di sini hari ini menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti Berawan di negeri ini.
Program anjuran Persatuan Berawan Sarawak itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala bersama isterinya Datin Easter Mujan Balan.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh Pengerusi Persatuan Berawan Sarawak yang juga pengelola program, Edward Laing serta barisan jawatankuasa persatuan dan ahli komuniti Berawan yang hadir bersama keluarga.
Dalam ucapannya, Gerawat merakamkan penghargaan kepada Persatuan Berawan Sarawak atas penganjuran program yang disifatkan sebagai wadah penting untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai dan harmoni.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah bersama keluarga, malah memainkan peranan besar dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat kekitaan dalam kalangan komuniti Berawan di Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat Berawan merupakan antara komuniti minoriti yang memiliki sejarah, budaya dan identiti tersendiri yang unik di negeri ini.
“Warisan dan identiti masyarakat Berawan perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda supaya kekal subur dan terus dihargai dalam kepelbagaian budaya Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau komuniti.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan menyeluruh termasuk dalam aspek pendidikan, pembangunan luar bandar, kemudahan infrastruktur serta peluang ekonomi kepada rakyat.
Beliau turut menarik perhatian kepada inisiatif kerajaan negeri memperkenalkan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik Sarawak yang disifatkan mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak negeri melanjutkan pelajaran tanpa dibebani masalah kewangan.
Sehubungan itu, beliau berharap generasi muda masyarakat Berawan dapat memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan bagi membina masa depan yang lebih cerah sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti mereka.
Program Hari Keluarga tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai dan riadah yang melibatkan penyertaan ahli keluarga, sekali gus mewujudkan suasana penuh kemesraan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Berawan di Sarawak.- EDISI UKAS