40 Sekolah Sekitar Sri Aman Sertai Program ‘Quran Hour’ Sempena Nuzul Quran
SIMANGGANG: Sebanyak 40 buah sekolah di seluruh Daerah Sri Aman menyertai Program ‘Quran Hour’ yang dilaksanakan secara serentak bersempena sambutan Nuzul Quran, semalam.
Program berkenaan berpusat di Sekolah Kebangsaan Abang Aing dan melibatkan penyertaan murid sekolah rendah serta menengah, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Muslim dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman.
Menurut jurucakap Unit Pendidikan Islam PPD Sri Aman, program peringkat daerah itu memberi penekanan kepada bacaan, tadabbur dan penghayatan Surah Al-Kahfi sebagai usaha membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut diharap dapat menyemai minat membaca serta memahami Al-Quran dalam kalangan peserta, di samping menggalakkan amalan tadabbur sebagai panduan hidup.
Tambah beliau, program tersebut juga diyakini mampu membantu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdaya tahan serta mencerminkan semangat kesatuan dan kecintaan umat Islam terhadap kitab suci Al-Quran.
Dalam pada itu, penghayatan Surah Al-Kahfi melalui program berkenaan turut memberi inspirasi kepada murid untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.
Sementara itu, Unit Pendidikan Islam PPD Sri Aman memaklumkan penglibatan menyeluruh warga pendidikan dalam program tersebut membuktikan komitmen komuniti pendidikan di daerah berkenaan dalam memperkukuh budaya ilmu serta nilai spiritual dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS