‘Juh Sungke’ Semarak Ramadan, Erat Perpaduan Komuniti Serembu
BAU: Program Majlis ‘Juh Sungke’ menyemarakkan suasana Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu sekali gus menjadi platform mempereratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan antara acara tahunan di kawasan berkenaan setiap kali tibanya bulan Ramadan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara masyarakat.
Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Program seperti ini bukan sahaja menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan, tetapi juga menjadi platform untuk kita berkumpul, saling mengenali dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kranji atas kesudian menjadi tuan rumah bagi penganjuran program berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pusat Khidmat DUN Serembu serta Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) DUN Serembu yang bekerjasama menjayakan program tersebut.
Dato Miro turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan toleransi yang ditunjukkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Sarawak merupakan kekuatan utama yang perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian serta perpaduan terus kekal kukuh.
Menurut beliau, kepelbagaian budaya dan agama bukanlah penghalang untuk rakyat hidup dalam suasana harmoni, sebaliknya menjadi asas penting kepada pembentukan masyarakat Sarawak yang bersatu padu.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Bau Paul Kenny, wakil Setiausaha Majlis Daerah Bau Leetizia Liani Afandi, Timbalan Ketua Polis Daerah Bau DSP Ritchie Jarit serta tetamu kehormat lain. —EDISI UKAS