Pelbagai Pelan Tindakan Dirangka Tangani Isu Bekalan Air Di Pakan
PAKAN: Kerajaan Sarawak terus memberi perhatian terhadap isu bekalan air yang dihadapi penduduk luar bandar di daerah ini dengan merancang beberapa langkah penyelesaian secara berperingkat bagi memastikan keperluan asas rakyat dapat dipenuhi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pelbagai pelan tindakan telah dirangka melibatkan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah tersebut secara menyeluruh.
Menurutnya, antara usaha yang sedang dipertimbangkan termasuk pemasangan sistem penggalak tekanan air bagi meningkatkan tekanan bekalan di kawasan tertentu yang sering mengalami gangguan.
“Bagi kawasan yang masih belum mempunyai paip agihan, penduduk perlu menunggu pelaksanaan fasa seterusnya projek bekalan air yang telah dirancang oleh kerajaan.
“Namun, saya yakin tiada siapa akan tercicir kerana Loji Rawatan Air Bayong sedia ada akan diperbesarkan selain pembangunan loji rawatan air baharu di Gerugu,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Seliang Kunjan di sini, pada Jumaat.
Tambah Tan Sri William Mawan, apabila projek pembesaran dan pembinaan loji rawatan air tersebut siap sepenuhnya kelak, bekalan air dijangka dapat disalurkan kepada lebih ramai penduduk termasuk di kawasan Buku.
Jelasnya lagi, cabaran utama pelaksanaan projek di kawasan luar bandar terutama di kawasan berbukit ialah pembinaan rangkaian paip agihan yang memerlukan kerja infrastruktur lebih kompleks.
“Pembinaan paip utama bekalan air berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, manakala paip agihan dikendalikan oleh kerajaan Sarawak.
“Bagaimanapun, kerajaan Sarawak bersedia mengambil alih pelaksanaan projek tertentu bagi mempercepatkan penyelesaian masalah bekalan air di kawasan terjejas,” tambah beliau. -EDISI UKAS