Sambutan Nuzul Al-Quran, Iftar Jamaie Peringkat Mukah Eratkan Ukhuwah Masyarakat di Belawai
BELAWAI: Sambutan Nuzul Al-Quran dan Iftar Jamaie Peringkat Bahagian Mukah yang diadakan di Masjid Darul Arqam Belawai pada Jumaag menjadi platform memperkukuh penghayatan terhadap Al-Quran serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab yang bersama penduduk Kampung Belawai memeriahkan program berkenaan.
Program dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil sebelum para hadirin bersama-sama berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Pengisian program diteruskan dengan tazkirah khas berkaitan peristiwa Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh wakil dari Pejabat Agama Islam Daro sebagai peringatan kepada umat Islam tentang kepentingan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Dalam majlis sama, Dato Ir. Yusuf turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM56,490 kepada 25 masjid dan sembilan surau di kawasan Parlimen Tanjong Manis yang mana setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM1,500 manakala surau menerima RM750.
Selain itu, Persatuan Usahawan dan Penjaja Daerah Tanjung Manis turut menerima sumbangan berjumlah RM2,000.
Dalam pada itu, sebanyak 60 naskhah Al-Quran turut diagihkan kepada penerima yang mendaftar awal hasil sumbangan daripada Yayasan Tun Rahah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Mukah Safari Sailie, Pegawai Daerah Daro Zul Yusufserta Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah.-EDISI UKAS