Sarawak Antara Negeri Catat Skor Perpaduan Tertinggi Negara
SIBU: Sarawak terus menjadi contoh terbaik perpaduan kaum di Malaysia apabila mencatatkan antara skor perpaduan tertinggi di negara ini berdasarkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas).
Ketua Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zukifli Hashim berkata, dalam penilaian peringkat negeri, Sarawak berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Pahang dan Melaka.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini yang sentiasa hidup dalam suasana saling menghormati dan bekerjasama.
“Sarawak sering dijadikan contoh terbaik perpaduan di Malaysia. Ini bukan sekadar kata-kata, tetapi dibuktikan melalui Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) yang mengukur tahap perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Segulai Sejalai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bahagian Sibu di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Zukifli menambah, kejayaan Sarawak mengekalkan keharmonian masyarakat bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kepimpinan yang baik serta hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Menyentuh mengenai skor perpaduan negara, katanya, ia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pada tahun 2018, skor perpaduan negara adalah 0.567, meningkat kepada 0.629 pada 2022 dan seterusnya kepada 0.701 pada tahun 2025.
“Peningkatan ini menunjukkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin kukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap perpaduan yang kukuh di Sarawak akan terus diperkasakan dan dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain di negara ini.
Hadir sama semasa majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan, Mohamad Sobri Mat Daud; Setiausaha Bahagian Kolaborasi Strategik Kementerian Perpaduan Negara, Zaimy Shaari; Pegawai Perpaduan Bahagian JPNIN Sibu, Jendri Mangku dan pengerusi pengelola program, Ibrahim Omar.-EDISI UKAS