SABERKAS Meradong Agih 300 Pek Bubur Lambuk Kepada Pengunjung Bazaar Ramadan Bintangor
BINTANGOR: Program Jerayawara Bubur Lambuk sempena Ramadan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong menyantuni masyarakat setempat yang mengunjungi Bazaar Ramadan Bintangor pada Jumaat.
Sebanyak 300 pek bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir ke bazar tersebut sebagai sebahagian daripada aktiviti kebajikan sempena bulan Ramadan.
Turut diagihkan ialah air mineral dan buah kurma kepada para pengunjung.
Program tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SABERKASCawangan Meradong, Ding Kuong Hiing.
Pengagihan bubur lambuk, air mineral dan kurma itu dilaksanakan oleh ahli-ahli SABERKAS daripada Unit Melayu, Cina dan Iban yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Menurut Datuk Ding, penganjuran program seumpama itu mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli SABERKAS serta masyarakat di daerah Meradong, khususnya dalam berkongsi rezeki dan menyemarakkan lagi suasana Ramadan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli SABERKAS yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan program jerayawara bubur lambuk itu berjalan dengan lancar serta memberi manfaat kepada orang ramai.-EDISI UKAS