Kerajaan Sarawak Lancar SKAS 2026, Peruntuk RM640 Juta Bantu Rakyat
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen membantu rakyat serta merancakkan ekonomi negeri apabila melancarkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM640 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan asas, malah berperanan sebagai suntikan langsung kepada ekonomi negeri melalui peningkatan permintaan domestik.
Menurut beliau, peningkatan perbelanjaan dalam kalangan rakyat akan menggerakkan aktiviti perniagaan sekali gus memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem ekonomi tempatan.
“Apabila permintaan domestik meningkat, perniagaan akan terus berputar dan memberi manfaat kepada rakyat serta sistem ekonomi kita.
“Bermakna kita menyuntik RM640 juta ke dalam ekonomi negeri bagi membantu rakyat supaya mereka dapat berbelanja dan seterusnya merancakkan lagi pergerakan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat Sarawak di Bazar Ramadan Stutong di sini, pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, beliau memaklumkan bahawa SKAS yang diperkenalkan sejak tahun lalu merupakan intervensi langsung kerajaan Sarawak bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan.
Menurutnya, pada tahun pertama pelaksanaan program tersebut, kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM480.2 juta dengan lebih daripada 888,000 penerima yang layak.
Berikutan impak positif yang ditunjukkan, pelaksanaannya diperkukuh pada tahun ini dengan peruntukan RM539.8 juta, melibatkan RM179.6 juta bagi penyaluran peringkat pertama, RM179.6 juta bagi peringkat kedua dan RM180.6 juta bagi peringkat ketiga.
Selain itu, nilai bantuan turut ditingkatkan kepada RM950 setahun bagi kategori isi rumah, RM500 setahun bagi warga emas tanpa pasangan dan RM300 setahun bagi kategori bujang.
“Kesemua pembayaran akan disalurkan secara tiga fasa ke dalam akaun S Pay Global (e-dompet) penerima yang layak bermula 10 Mac ini bagi memudahkan umat Islam membuat persiapan menjelang Hari Raya.
“Fasa kedua akan dilaksanakan pada Mei sempena sambutan Hari Gawai, manakala fasa ketiga pada 10 November bagi membantu persiapan persekolahan anak-anak,” tambah beliau.
Pada majlis tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyempurnakan simbolik pelancaran dengan menyerahkan replika bantuan SKAS kepada enam wakil penerima daripada kategori warga emas tanpa pasangan, isi rumah dan bujang.
Turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Ketua-ketua Jabatan dan tetamu jemputan lain.
Untuk makluman, penerima SKAS merangkumi kategori isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, serta warga emas tanpa pasangan atau anak dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah.
Penyaluran bantuan akan diteruskan melalui S Pay Global bagi pembelian barangan makanan asas di 2,249 pasar raya dan kedai yang mengambil bahagian di seluruh Sarawak.
Bantuan kewangan tersebut boleh digunakan sepanjang tahun ini dan semakan status boleh dibuat melalui aplikasi S Pay Global atau pautan https://sarawak.gov.my. -EDISI UKAS