Program Ziarah Ramadahan santuni 120 asnaf di Kampung Baru
BINTULU: Kira-kira 120 golongan asnaf menerima sumbangan sempena Program Ziarah Ramadan anjuran Tong Seng Huat dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Bintulu yang berlangsung di Masjid Darussalam, Kampung Baru di sini pada Jumaat.
Program tersebut diadakan sebagai usaha membantu meringankan beban golongan memerlukan di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan bagi menyantuni golongan asnaf di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, program tersebut juga merupakan kali ketiga dilaksanakan hasil kerjasama antara Tong Seng Huat, Pusat Khidmat Parlimen Bintulu serta jawatankuasa Masjid Darussalam Kampung Baru bersama beberapa jawatankuasa kampung setempat.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia dapat membantu meringankan beban golongan asnaf di samping menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak terhadap kebajikan masyarakat,” katanya pada program berkenaan.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan itu diharap dapat membantu golongan asnaf membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tong Seng Huat atas komitmen mereka menyalurkan bantuan kepada masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Tambahnya, kerjasama antara sektor swasta dan pemimpin masyarakat amat penting dalam memastikan kebajikan komuniti setempat terus diberi perhatian, selain membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng serta Azman Abdul Rahman.-EDISI UKAS