Agihan Bubur Lambuk Sempena Ramadan Eratkan Perpaduan Masyarakat
MIRI: Program pengagihan 1,000 pek bubur lambuk sempena bulan Ramadan anjuran Saberkas Cawangan Senadin dengan kerjasama Kolej Komuniti Miri di Permy Mall, Permyjaya mencerminkan semangat kebersamaan serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program tahunan tersebut bukan sahaja membawa kegembiraan kepada masyarakat, malah menjadi platform untuk berkongsi rezeki dan memperkukuh hubungan antara komuniti.
Menurut beliau, masyarakat di Sarawak sememangnya terkenal dengan semangat toleransi serta saling menyertai program dan sambutan perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
“Budaya saling menghormati serta menyertai sambutan perayaan antara kaum sudah lama menjadi cara hidup masyarakat Sarawak dan inilah yang mengukuhkan semangat perpaduan serta keharmonian dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui pada program tersebut pada Jumaat.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak juga terus menganjurkan pelbagai rumah terbuka sempena perayaan utama sebagai usaha memperkukuh semangat inklusiviti serta perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perpaduan rakyat merupakan faktor penting dalam memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
Katanya, melalui kerjasama serta semangat kebersamaan rakyat, Sarawak mampu mencapai matlamat pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi.
Pada masa sama, Dato Sri Lee turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati terutama menjelang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Menurutnya, pemandu yang melakukan perjalanan jauh pulang ke kampung digalakkan berhenti berehat selepas dua hingga tiga jam perjalanan bagi mengelakkan keletihan dan mengantuk yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik termasuk sistem brek, lampu dan isyarat bagi menjamin keselamatan sepanjang perjalanan.-EDISI UKAS