120 Penduduk Terima Sumbangan Beras Program Ziarah Ramadan
BINTULU: Seramai 120 penduduk di RPR Kidurong menerima sumbangan beras menerusi Program Ziarah Ramadan anjuran syarikat Tong Seng Huat yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong baru-baru ini.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu merupakan inisiatif syarikat berkenaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Azman Abdul Rahman berkata, jumlah sumbangan yang diagihkan menunjukkan peningkatan setiap tahun berbanding 80 kampit beras pada tahun pertama dan 100 kampit pada tahun kedua.
Menurutnya, peningkatan tersebut membolehkan lebih ramai penduduk setempat menerima manfaat daripada program kebajikan yang dilaksanakan.
Selain pengagihan beras kepada penduduk, bubur lambuk yang sinonim dengan Ramadan turut diagihkan kepada orang ramai yang hadir bagi memeriahkan lagi program tersebut.
Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama daripada ketua kampung serta komuniti setempat bagi memastikan sumbangan sampai kepada golongan yang memerlukan.-EDISI UKAS