Tarikh PRN Sarawak Tertakluk Kepada Prerogatif Premier Sarawak
KUCHING: Sebarang penentuan mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tertakluk kepada prerogatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun terdapat pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan pilihan raya diadakan dalam tempoh sekitar 100 hari, keputusan muktamad mengenainya hanya boleh ditentukan oleh Premier Sarawak.
“Saya hanya dapat mengatakan di sini bahawa individu yang kemungkinan dapat memberitahu secara kasar bila tarikh pilihan raya akan diadakan ialah Premier Sarawak kerana prerogatif dan budi bicara untuk membubarkan DUN berada di tangan beliau.
“Tapi kita tidak perlu risau sangat kerana saya rasa di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) ataupun pembangkang, semua sudah maklum bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam masa terdekat iaitu tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, pilihan raya negeri sememangnya perlu diadakan tahun ini memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada penghujung tahun.
Menurut beliau, perkara itu bukan lagi satu rahsia memandangkan semua pihak sedia maklum mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim berkata perkembangan politik semasa di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia juga antara perkara yang boleh diperhatikan dalam menentukan jadual pilihan raya pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai pembubaran DUN dan tarikh pilihan raya tetap merupakan prerogatif Premier Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang