Cadangan Tambahan 17 Kerusi DUN Sarawak Masih Menunggu Kelulusan Di Peringkat Persekutuan
KUCHING: Cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak masih menunggu kelulusan di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usul berhubung cadangan tersebut telah dibentangkan dan mendapat sokongan DUN Sarawak kira-kira setahun lalu.
Menurut beliau, cadangan itu melibatkan pertambahan kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi bagi memenuhi keperluan semasa negeri.
“Dalam Perlembagaan Malaysia, penentuan sempadan hanya boleh dilakukan selepas lapan tahun dan kita telah melepasi tempoh itu.
“Kita merasakan terdapat keperluan untuk menambah bilangan kerusi DUN Sarawak dan sebab itulah usul tersebut dibawa,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Beliau menjelaskan cadangan berkenaan hanya melibatkan pertambahan kerusi DUN Sarawak dan tidak melibatkan kerusi Parlimen.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, usul penambahan kerusi tersebut telah dibentangkan dan mendapat sokongan DUN Sarawak sebelum ini.
Tambahnya, pelaksanaan cadangan berkenaan tertakluk kepada proses dan prosedur yang ditetapkan termasuk persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum sebarang perubahan dapat dilaksanakan.
“Jika diluluskan sekalipun dalam masa terdekat, kemungkinan besar tambahan 17 kerusi itu hanya dapat digunakan pada pilihan raya negeri yang seterusnya,” ujarnya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang