Penduduk Rumah Edwin Jalak Terima Manfaat Projek RTP Bernilai RM150,000
KANOWIT: Penduduk Rumah Edwin Jalak, Nanga Nirok, Sungai Ngemah kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila projek pembinaan baharu anjung rumah panjang bernilai RM150,000 siap dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, meskipun setiap kawasan hanya diperuntukkan sebanyak 45 projek RTP setahun, kerajaan sentiasa berusaha memastikan pembangunan diagihkan secara adil kepada semua komuniti.
“Semua rumah panjang di kawasan Ngemah Tengah telah menerima manfaat projek RTP mengikut keperluan masing-masing sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Membuat Anjung Rumah Panjang di Rumah Edwin Jalak, Nanga Nirok, Sungai Ngemah pada Khamis.
Dalam pada itu, Anyi turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat bagi memastikan keperluan pembangunan dapat disuarakan dengan lebih berkesan kepada kerajaan dan agensi berkaitan.
Dalam majlis sama, Anyi mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Edwin Jalak, manakala baki RM3,000 diperuntukkan kepada Biro Wanita JKKK rumah panjang berkenaan.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah Ramba Resang, Penghulu Pree Minggat, Penghulu Tiong Ming Kiong serta barisan tuai rumah setempat.-EDISI UKAS