Kejayaan KCFC Ke Pentas Asia Bukti Pengurusan Berkesan, Ekosistem Bola Sepak Sarawak Semakin Kukuh
KUCHING: Kejayaan Kuching City FC (KCFC) melayakkan diri ke pertandingan kelab peringkat Asia disifatkan sebagai pencapaian luar biasa yang membuktikan keberkesanan pengurusan pasukan serta perkembangan positif landskap bola sepak Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan memandangkan pasukan berkenaan hanya mengambil masa kira-kira sedekad untuk muncul sebagai antara kelab terbaik negara dan seterusnya menembusi pentas Asia.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada suntikan dana semata-mata, sebaliknya memerlukan pengurusan yang cekap dan hala tuju yang jelas.
“Kita amat bersyukur melihat prestasi Kuching City FC. Dalam tempoh yang singkat, mereka berjaya mara ke peringkat akhir Piala FA dan seterusnya layak ke pertandingan kelab Asia.
“Ia merupakan satu pencapaian yang sangat besar dan turut mencerminkan pengurusan yang baik,” katanya pada sidang media di Kuching, pada Jumaat.
Justeru, Dato Sri Abdul Karim berkata kementerian serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak akar umbi melalui pelaksanaan liga sendiri peringkat negeri mengikut kategori umur di seluruh Sarawak.
Langkah itu, jelasnya, bertujuan mewujudkan ekosistem bola sepak yang mampan bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat serta membuka ruang kepada kemunculan lebih banyak kelab dari pelbagai bahagian di negeri ini.
Tambah beliau, rakyat Sarawak melihat KCFC bukan sekadar mewakili bandar raya Kuching, tetapi sebagai pasukan yang membawa nama dan aspirasi seluruh Sarawak di pentas nasional dan antarabangsa.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang