Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Tekankan Kesihatan dan Pemerkasaan Wanita
MIRI: Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Borneo Medical Centre (Miri) pada Sabtu memberi penekanan terhadap kepentingan kesihatan, kesejahteraan serta pemerkasaan wanita dalam masyarakat.
Program yang diadakan di lobi hospital tersebut dianjurkan oleh Borneo Medical Centre (Miri) dengan kerjasama Women Empowerment & Professional Society (WEPS) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pemerkasaan wanita bukan sekadar isu berkaitan wanita semata-mata, sebaliknya merupakan agenda pembangunan penting bagi memastikan masa depan Sarawak yang lebih mampan dan inklusif.
Menurut beliau, apabila wanita diberikan akses kepada peluang, pendidikan serta sokongan yang mencukupi, ia akan memberi manfaat kepada masyarakat melalui pembentukan keluarga yang lebih kukuh, komuniti yang stabil serta pembangunan yang lebih progresif.
Tambah beliau, wanita masa kini turut berdepan pelbagai cabaran kompleks termasuk peningkatan isu kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung, tekanan ekonomi terhadap ibu bekerja serta cabaran keselamatan dan kesejahteraan digital.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa kesihatan wanita perlu terus diberi keutamaan bukan sahaja dari aspek penjagaan materniti, malah merangkumi saringan kesihatan awal, sokongan kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif serta pengurusan penyakit kronik.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Borneo Medical Centre (Miri), Dr Richard Chen berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa bukan sahaja meraikan pencapaian wanita, malah mengiktiraf pelbagai cabaran kesihatan dan tekanan kehidupan yang masih dihadapi golongan tersebut.
Menurutnya, tema sambutan tahun ini iaitu “Give to Gain. Every Story Matters. Every Woman Counts.” membawa makna mendalam khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan kerana setiap wanita mempunyai kisah kehidupan tersendiri di sebalik statistik kesihatan.-EDISI UKAS