PETRONAS Agih Bakul Makanan Kepada 350 Keluarga Kurang Berkemampuan di Petra Jaya
KUCHING: Program PETRONAS Uplifting Lives Hari Raya Aidilfitri 2026 menyaksikan seramai 350 keluarga kurang berkemampuan di kawasan Petra Jaya menerima sumbangan bakul makanan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program tersebut mencerminkan semangat kasih sayang serta kepedulian terhadap masyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang menekankan nilai penyucian hati dan sikap saling membantu antara satu sama lain.
Menurut beliau, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi medan untuk membentuk keperibadian yang lebih bertakwa serta mengukuhkan hubungan sesama manusia melalui amalan kebajikan dan sedekah.
“Islam menuntut umatnya untuk berkasih sayang antara satu sama lain, malah iman seseorang tidak sempurna selagi kita tidak menyayangi saudara kita sebagaimana kita menyayangi diri sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS dan Yayasan PETRONAS yang terus komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Tambahnya, usaha seumpama itu selari dengan aspirasi gagasan MADANI yang menekankan nilai ihsan, iaitu mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa kampung serta wakil rakyat perlu bekerjasama memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara agar tiada sesiapa yang tercicir daripada menerima bantuan,” jelasnya.
Dalam program tersebut, bakul makanan yang diagihkan mengandungi pelbagai keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, pes rendang, pes kari ayam, kacang tanah, santan, bahan perasa serta teh keluaran tempatan.
Program berkenaan dilaksanakan oleh Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Pusat Khidmat Petra Jaya, Pejabat Daerah Kuching, Jawatankuasa Masjid Ikhwanul Islam serta pemimpin komuniti di kawasan Tupong, Samariang dan Satok.
Selain Petra Jaya, PETRONAS turut melaksanakan inisiatif Aidilfitri yang sama untuk kira-kira 1,000 penerima di beberapa kawasan lain di Sarawak termasuk Bekenu, Bintawa, Bintulu, Limbang dan Lawas.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong Pegawai Daerah Kuching yang mewakili Residen Bahagian Kuching, Zaidi Sharkawi,Naib Presiden Hubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS Ir. Norafizal Mat Saad, serta pemimpin komuniti setempat.-EDISI UKAS