Safari Ramadan JAIS Eratkan Ukhuwah Komuniti Hulu Lemanak
SRI AMAN: Program Safari Ramadan anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) menyemarakkan penghayatan Ramadan serta mengeratkan ukhuwah komuniti apabila berlangsung di Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu Lemanak pada Rabu.
Program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Mual Suaud, dan dihadiri kira-kira 100 penduduk setempat.
Dalam tausiyahnya, beliau menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi medan meningkatkan ketakwaan, memperbaiki akhlak serta memperbanyakkan amalan ibadah. Beliau turut menyeru masyarakat khususnya golongan muda agar terus mengimarahkan masjid dan surau.
Majlis turut diisi dengan berbuka puasa serta solat Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah sebelum diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan sasar.
Seramai 40 penerima menerima sumbangan tunai dan kotak makanan, manakala 45 pelajar menerima bantuan tunai serta peralatan sekolah. Turut disampaikan Dana Pengimarahan Surau selain sumbangan projektor LCD dan skrin kepada Surau Hayatul Islam bagi menyokong aktiviti keagamaan di surau berkenaan. -EDISI UKAS