1,250 Bubur Lambuk Diagih Kepada Penduduk Tambirat
ASAJAYA: Sebanyak 1,250 kontena bubur lambuk berjaya disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Tambirat Lot sebelum diagihkan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya menuju ke Asajaya dalam Program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan 2026 pada Sabtu.
Program tersebut merupakan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tambirat Lot, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambirat Lot serta Persatuan Penjaja Pusat Penjaja MPKS Tambirat.
Pengagihan bubur lambuk telah disempurnakan oleh Penghulu Kampung Tambirat, Tamel Mohamad yang memuji komitmen masyarakat setempat dalam menjayakan program tahunan sempena Ramadan itu.
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan malah memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Pengerusi Persatuan Pusat Penjaja MPKS Tambirat Azrizal Amran, Ketua Kaum Kampung Tambirat Lot merangkap Pengerusi JKKK Tambirat Lot Zamzari Su’ut serta beberapa pemimpin masyarakat setempat. –EDISI UKAS