13,154 di Mukah dan 3,074 di Balingian Terima Manfaat SKAS Tahun Ini
BALINGIAN: Seramai 13,154 penerima di Daerah Mukah, manakala 3,074 penerima lagi melibatkan Daerah Kecil Balingian bagi tahun ini layak menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), satu inisiatif yang mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terpelihara di tengah peningkatan kos sara hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, bantuan tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
"Kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap kebajikan rakyatnya dan ini dibuktikan melalui penyaluran SKAS kepada mereka yang layak," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat
DUN Balingian dan Santuni Kasih Ramadan DUN Balingian di Dewan Masyarakat Balingian, di sini, pada Sabtu.
Abdul Yakub menekankan peranan penting Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam memastikan maklumat mengenai bantuan kerajaan sampai kepada penduduk dengan berkesan, agar tiada penerima yang layak tercicir daripada manfaat yang disediakan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejumlah RM66,000 Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di bawah DUN Balingian telah disalurkan kepada 16 pengurusan surau dan masjid di kawasan tersebut.
Jelasnya, geran berkenaan bertujuan menyokong pelbagai program keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak masjid dan surau.
Beliau turut berharap Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau dapat memanfaatkan geran yang disalurkan dengan sebaiknya demi kepentingan bersama.
Dalam majlis sama, seramai 30 orang asnaf di Daerah Kecil Balingian turut menerima sumbangan Bakul Kasih Ramadan berupa barangan keperluan asas dapur bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan dalam membuat persiapan sepanjang bulan Ramadan serta menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Temenggung Hendi Suhai.-EDISI UKAS