Pengalaman Zaman Belajar Ilham TPM Tubuhkan ‘Sarawak Volunteers’
KUCHING: Pengalaman sewaktu belajar menjadi ilham kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menubuhkan ‘Sarawak Volunteers’ yang kini banyak membantu pelajar negeri ini yang melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.
Menurut beliau, penubuhan tersebut antara usaha penting bagi memastikan pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi mempunyai rangkaian sokongan yang kukuh apabila berdepan sebarang kesulitan.
“Saya pastikan setiap pelajar-pelajar Sarawak ada saluran sekiranya mereka mempunyai masalah, ada tempat untuk mereka mencari pertolongan.
“Maka sebab itu, setiap universiti di Malaysia ada kita wakilkan ‘Sarawak Volunteers’ untuk mereka mengadu ketika kesusahan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Sembang Santai anjuran NEXGEN Petra Jaya, di sini, pada Sabtu.
Mengimbau situasi ketika pandemik COVID-19 lalu, kerjasama antara Yayasan Sarawak, Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak memainkan peranan penting dalam menjejak serta membantu pelajar Sarawak yang memerlukan.
Menurutnya, terdapat pelajar yang tidak dapat keluar rumah atau mengalami kesukaran kewangan ketika itu, justeru sukarelawan membantu menghantar makanan dan keperluan asas kepada mereka.
Dalam majlis sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menyempurnakan pelepasan larian ‘Runmadhan Challenge’ sejauh lima kilometer.
Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran acara berkenaan, Datuk Amar Fadillah turut menyalurkan dana berjumlah RM5,000 kepada pihak penganjur. -EDISI UKAS