Pembangunan Tanaman Padi di Sungai Tunoh Terus Dipacu
KAPIT: Usaha membangunkan kawasan Sungai Tunoh di Bukit Mabong sebagai kawasan tanaman padi terus dipacu bagi memperkukuh sekuriti makanan Sarawak serta meningkatkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pembangunan kawasan tersebut dilihat berpotensi menjadi antara kawasan baharu pengeluaran padi di negeri ini.
“Pembangunan Sungai Tunoh sebagai kawasan tanaman padi akan membuka peluang ekonomi baharu, meningkatkan pendapatan petani tempatan dan memperkukuh jaminan makanan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika lawatan kerja ke kawasan cadangan tanaman padi di Sungai Tunoh, Bukit Mabong pada Sabtu.
Dato Sri Dr. Stephen Rundi, pembangunan sektor penanaman padi di kawasan luar bandar merupakan antara langkah strategik kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran beras tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
Terdahulu, beliau telah diberikan taklimat oleh Jabatan Pertanian Sarawak mengenai pembangunan padi.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, serta pegawai kanan kerajaan.-EDISI UKAS