KAPIT: Inisiatif penganjuran program agihan bubur lambuk disifatkan sebagai satu usaha bermakna dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, berkongsi rezeki serta memperkukuh silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menjadi platform untuk memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penduduk.
“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya semasa program agihan bubur lambuk anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Goram dan Unit SABERKAS Kampung Muhibah di Dewan Kampung Muhibbah, Kapit pada Sabtu.
Datuk Jefferson Jamit turut merakamkan penghargaan kepada SABERKAS atas usaha menganjurkan program berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi SABERKAS Bukit Goram Kaunselor Juson Jarau, Setiausaha Cawangan PBB Baleh Kaunselor John Lang Likong, Timbalan Ketua PBB Bukit Goram Douglas Chupong, Naib Ketua Cawangan PBB Baleh Malcolm Layang Jimbun, Bendahari SABERKAS Bukit Goram Julius Lingga serta Ketua Masyarakat dan ahli-ahli SABERKAS Bukit Goram.-EDISI UKAS