SIBU: Sarawak terus membuktikan keutuhan semangat toleransi apabila mencatatkan skor tertinggi bagi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mengikut pecahan wilayah.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, pencapaian itu berdasarkan dapatan kajian kali ketiga yang dilaksanakan kementeriannya bagi menilai tahap keharmonian rakyat di negara ini.
Menurut beliau, walaupun Sarawak menduduki tangga teratas bagi kategori wilayah, kedudukannya sedikit berbeza apabila penilaian dibuat mengikut pecahan negeri.
"Berdasarkan kajian tersebut, Sarawak mencatatkan indeks perpaduan tertinggi berbanding tiga wilayah lain.
“Bagaimanapun, bagi peringkat negeri, Pahang mendahului di tempat pertama manakala Sarawak di kedudukan ketiga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai program tersebut, Dato Sri Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit menjelaskan, inisiatif berkenaan merupakan manifestasi kerjasama erat antara agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti setempat.
Katanya, penglibatan aktif Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bahagian Sibu membolehkan sebanyak 5,000 bekas bubur lambuk disediakan untuk agihan kepada orang ramai.
"Kita amat menghargai komitmen semua pihak termasuk pejabat rasmi dan pusat khidmat yang membantu menjayakan program tahunan ini,” ujarnya.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim.-EDISI UKAS