SIBU: Program Lan Berambeh Sungkei 2026 Bahagian Sibu Edisi Kelapan yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang pada Sabtu berjaya mencapai sasaran kehadiran seramai 25,000 pengunjung dengan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.
Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, kehadiran pengunjung yang terus memenuhi kawasan padang sepanjang program berlangsung jelas menggambarkan sokongan dan keterujaan masyarakat terhadap penganjuran acara tersebut.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita percaya para pengunjung akan terus datang.
“Malah kita dapat lihat pengunjung semakin ramai memenuhi kawasan padang ini. Kehadiran orang ramai memang sangat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan penganjuran program tersebut turut disumbang oleh penglibatan pelbagai agensi kerajaan, jabatan, kelab serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berganding bahu memastikan kelancaran acara berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas kerjasama dalam membuat liputan program Jelajah Ramadan di Sarawak yang pada tahun ini berakhir di Sibu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya merancang untuk mengembangkan program Lan Berambeh Sungkei sebagai salah satu acara pelancongan pada masa hadapan.
Menurutnya, perkara itu telah dimasukkan dalam perancangan pelancongan dan surat rasmi juga telah dihantar kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak melalui Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Tambah beliau, pada tahun ini program tersebut turut menerima sokongan serta pembiayaan daripada kementerian berkenaan.
“Pada masa akan datang kita merancang untuk menambah lebih banyak juadah serta aktiviti supaya program ini dapat dikembangkan dengan lebih besar,” ujarnya.
Program turut diserikan dengan kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang yang turut meghadiri program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di lokasi sama.-EDISI UKAS