Program Kerohanian Perkukuh Nilai Integriti Dalam Kalangan Warga IPD Lubok Antu
LUBOK ANTU: Usaha memperkukuh penghayatan rohani dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkasa apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu menganjurkan Program Solat Sunat Dhuha serta Bacaan Surah Al-Mulk dan Surah Al-Kahfi di Surau Al-Nazarene, IPD Lubok Antu pada Jumaat.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi itu disertai seramai 27 warga IPD Lubok Antu yang terdiri daripada dua Pegawai Kanan Polis (PKP), 23 Pegawai Rendah Polis (PRP) serta dua Pegawai Awam Polis (PAP).
Solat Sunat Dhuha secara berjemaah telah diimamkan oleh Insp. Muhammad Firdaus Saldi dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD).
Pengisian program dimulakan dengan pelaksanaan Solat Sunat Dhuha secara berjemaah sebelum diteruskan dengan tazkirah ringkas mengenai kelebihan membaca Surah Al-Mulk. Program kemudian disusuli dengan bacaan Surah Al-Mulk serta Surah Al-Kahfi.
Penganjuran program kerohanian ini bertujuan meningkatkan penghayatan nilai-nilai spiritual dalam kalangan warga IPD Lubok Antu di samping memupuk budaya kerja berteraskan integriti, amanah dan disiplin dalam melaksanakan tanggungjawab kepolisan.
Selain memperkukuh jati diri, program ini turut membantu mewujudkan keseimbangan emosi dalam kalangan anggota agar sentiasa tenang, positif serta berdaya tahan ketika berhadapan dengan cabaran tugas harian.
Dalam masa yang sama, program seumpama ini juga menjadi platform mengeratkan ukhuwah antara pegawai dan anggota sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan diberkati, seterusnya menyokong usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.-EDISI UKAS