KUCHING: Program Agihan Bubur Lambuk Satok 2026 yang dianjurkan di Jambatan Ikonik Datuk Amar Juma’ani, Jalan Datuk Ajibah Abol pada Sabtu menjadi platform memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat sempena bulan Ramadan.
Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok melalui Biro Agama dengan kerjasama Rumpun Silat Sarawak (RSS) Wilayah Kuching, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai sebagai usaha menyantuni masyarakat di samping menyemarakkan amalan berkongsi rezeki sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan.
Penyediaan bubur lambuk tersebut turut dilaksanakan secara gotong-royong melibatkan kira-kira 50 sukarelawan daripada pelbagai organisasi penganjur termasuk agensi keselamatan dan pertubuhan masyarakat.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah memperkukuh semangat kerjasama serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat melalui penglibatan pelbagai pihak.
Dalam masa yang sama, program berkenaan turut mempromosikan Jambatan Ikonik Datuk Amar Juma’ani sebagai salah satu mercu tanda baharu di bandar raya Kuching yang berpotensi menjadi lokasi tumpuan aktiviti komuniti.
Sehubungan itu, pihak penganjur bercadang menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan pada setiap Ramadan di kawasan Satok sebagai platform merapatkan hubungan antara komuniti, agensi serta pelbagai pertubuhan masyarakat. -EDISI UKAS