SIBU: Penerima lesen di bawah Program Mylesen B2 diingatkan agar tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut dengan terlibat dalam gejala samseng jalanan atau lumba haram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek menegaskan, lesen memandu yang diterima adalah satu simbol kepercayaan daripada kerajaan bahawa pemegangnya mampu mematuhi undang-undang.
"Apabila anda menerima lesen memandu, itu bukan bermakna anda bebas memandu sesuka hati.
"Pihak berkuasa yakin bahawa anda boleh membezakan antara tindakan yang berani dengan perbuatan yang cuai dan membahayakan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Program Mylesen B2 Anjuran DUN N.51 Bukit Assek Tahun 2026 di SMK Sacred Heart Sibu, hari ini.
Mengulas lanjut, Chieng mendedahkan statistik daripada PDRM Sibu yang menunjukkan seramai 21 individu telah didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepanjang tahun 2025.
Selain itu, sebanyak 59 operasi khas telah dijalankan yang menyaksikan 240 buah motosikal disita dan 1,607 saman dikeluarkan di Bahagian Sibu.
“Jadikan pemberian lesen ini sebagai alat untuk menunaikan tanggungjawab, bukan punca kepada kemalangan dan penyesalan. Jadilah anak yang membanggakan ibu bapa, bukan yang menambah luka di hati mereka.
“Jadilah saudara yang boleh diharap, bukan yang menimbulkan keresahan. Dan jadilah anggota masyarakat yang dihormati kerana disiplin dan budi pekerti, bukan yang dikeji kerana sikap lalai dan mementingkan diri,”tambahnya lagi.
Dalam pada itu, seramai 2,867 orang peserta telah berjaya mendapatkan lesen masing-masing menerusi program Mylesen bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek setelah melalui proses tapisan, ujian, dan latihan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui JPJ ini bertujuan membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi melalui peluang pekerjaan dalam sektor logistik dan pengangkutan.
Beliau turut menyeru agar agensi penguatkuasa seperti PDRM dan JPJ terus mempertingkatkan mekanisme penguatkuasaan bagi menurunkan kadar kemalangan maut.
Langkah ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Mohamad Faizal David Jemat, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supritenden Boniface Bajai, Ketua Cawangan JPJ Cawangan Sibu Jelapin Entalai dan yang lain. -EDISI UKAS