Program Iftar Ramadan Kampung Melayu Betong Erat Perpaduan Masyarakat
BETONG: Program Iftar Ramadan Kampung Melayu Betong yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Kampung Melayu Betong (JKKMB) dihadiri oleh para penduduk dari enam kampung Melayu di kawasan ini dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan di Dewan Al-Husna, Masjid Jamek Betong, pada Sabtu.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu merakamkan penghargaan kepada JKKMB kerana terus komited menganjurkan program kebajikan setiap tahun khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform untuk memupuk nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Program seperti ini membuktikan bahawa masyarakat kita masih mengekalkan nilai saling membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Betong perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada pembangunan kawasan tersebut.
Tambahnya, semangat kebersamaan yang telah diwarisi sejak zaman nenek moyang perlu terus dipupuk agar masyarakat dapat terus maju dan menghadapi cabaran masa depan dengan lebih kukuh.
Selain itu, sempena bulan Ramadan, Datuk Gerald Rentap Jabu turut menyumbangkan buah kurma kepada setiap isi rumah di enam kampung Melayu berkenaan. -EDISI UKAS