Datuk Liwan Lagang Sumbang Dana, Kurma Sempena Ramadan
BELAGA: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang telah menyumbangkan dana serta buah kurma kepada masyarakat sempena Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Masjid Baru Daerah Belaga, pada Sabtu.
Sebelum majlis berbuka puasa bermula, program didahului dengan penyampaian sumbangan dana kepada 40 penerima sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Turut diadakan ialah simbolik pengagihan buah kurma kepada Ketua Kampung Melayu Belaga, Awang Japar Awang Kabar, serta Ketua Kampung Hijrah Jaya, Hasbi Awang Radin, bagi mewakili penduduk kampung masing-masing.
Sebanyak 200 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Hijrah Jaya dan Kampung Melayu Belaga menerima sumbangan buah kurma tersebut yang merupakan sumbangan ikhlas daripada Datuk Liwan.
Program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk berbuka puasa bersama, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah Belaga.
Selain masyarakat Islam, majlis tersebut turut dihadiri oleh masyarakat pelbagai latar belakang yang hadir bagi memeriahkan suasana, sekali gus mencerminkan keharmonian serta keunikan masyarakat di Belaga yang hidup dalam suasana penuh perpaduan. -EDISI UKAS