KUCHING: Seramai 345 golongan asnaf dari lapan kawasan sekitar Gita dan Matang menerima sumbangan Aidilfitri dalam satu program kebajikan di Kampung Pinang Jawa, Gita, pada Ahad.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan masyarakat yang memerlukan.
Program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita/Matang itu merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan membantu golongan asnaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri selain meringankan beban kos sara hidup menjelang perayaan.
Sumbangan berkenaan melibatkan penerima daripada beberapa kawasan sekitar Gita dan Matang termasuk Kampung Pinang Jawa, Kampung Gita Laut dan Sri Melati, Kampung Gita Lama serta Sungai Maong, Kampung Gita Baru dan Taman Marple Kuching, Kampung Gita Tengah, Taman Gita Jaya, Taman Fitrah, Taman Rose dan Taman Foong Joon serta Laruh Scheme dan Batu 2½ Jalan Matang.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, Kampung Pinang Jawa mencatatkan jumlah tertinggi dengan 72 penerima, diikuti Kampung Gita Baru dan Taman Marple Kuching (65 orang) serta Kampung Gita Lama dan Sungai Maong (60 orang).
Selain itu, 58 penerima berasal dari Kampung Gita Laut dan Sri Melati, diikuti 37 penerima dari Kampung Gita Tengah, 21 penerima dari Taman Fitrah, Taman Rose dan Taman Foong Joon, 19 penerima dari Laruh Scheme serta Batu 2½ Jalan Matang, manakala 13 penerima dari Taman Gita Jaya.
Program kebajikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita/Matang dalam menyantuni golongan memerlukan di kawasan tersebut setiap kali menjelang Aidilfitri.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato' Fazzrudin Abdul Rahman.-EDISI UKAS