Transformasi Tayar Terbiar Jadi Landskap Tingkat Kesedaran Denggi
ASAJAYA: Penduduk Kampung Sri Tajo mengambil pendekatan kreatif dalam meningkatkan kesedaran pencegahan denggi menerusi program gotong-royong kitar semula tayar terbiar yang dijadikan komponen landskap kampung pada Ahad.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu menyaksikan tayar yang sebelum ini berpotensi menjadi tempat takungan air dan pembiakan nyamuk Aedes ditukar menjadi pasu tanaman bunga bagi menceriakan persekitaran kampung.
Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu menghapuskan potensi tempat pembiakan nyamuk, malah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran bagi mencegah penularan penyakit bawaan vektor.
Melalui bimbingan teknikal pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setiap tayar terlebih dahulu dibersihkan dan ditebuk lubang aliran air sebelum dicat serta ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan hiasan bagi memastikan tiada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Asajaya, Siti Aisyaah Suhaili berkata inisiatif tersebut mencerminkan kesedaran tinggi masyarakat dalam menguruskan sisa pepejal secara kreatif di samping mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat.
Menurut beliau, usaha tersebut juga dapat menjadi contoh kepada komuniti lain dalam memupuk budaya menjaga kebersihan persekitaran sebagai langkah pencegahan penyakit.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan KKM Daerah Asajaya, Dr Nor Hazemi Hasan turut memuji komitmen penduduk kampung yang mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran pencegahan denggi melalui aktiviti komuniti.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Sri Tajo, Hassan Ambik berkata penglibatan aktif masyarakat dalam program tersebut bukan sahaja membantu memperindah kawasan kampung, malah mengukuhkan kesedaran bersama untuk menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran.
Program tersebut diakhiri dengan sesi tinjauan di kawasan yang telah dinaik taraf landskapnya dan diharap dapat menjadi pemangkin kepada budaya kelestarian hijau serta kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat di daerah Asajaya.-EDISI UKAS