Wan Sufian Dilantik Timbalan Setiausaha Tetap MUDeNR Baharu
KUCHING: TPr Wan Sufian Wan Mustapha telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) bagi menggantikan Hairani Mohamad Ismail.
Majlis serah tugas antara Hairani dan TPr Wan Sufian telah berlangsung di Wisma Sumber Alam dan turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Hairani sepanjang tempoh beliau berkhidmat di kementerian berkenaan.
Hairani mula bertugas di MUDeNR pada 14 Januari 2019 di Bahagian Pembangunan Bandar sebelum ditempatkan di Bahagian Pentadbiran, Khidmat Pengurusan dan Kewangan sebagai Ketua Bahagian.
Berbekalkan pengalaman luas dalam pengurusan pentadbiran serta pembangunan bandar, beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap kementerian tersebut pada 3 Julai 2023 dan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan negeri.
Hairani akan meneruskan khidmat di Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai Setiausaha Eksekutif bermula 9 Mac 2026.
Terdahulu, majlis berkenaan turut menyaksikan serah tugas antara TPr Wan Sufian kepada TPr Sri Ratna Dewi Junaidi Sapawi sebagai Ketua Bahagian Perancangan Bandar dan Desa yang baharu.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh bersama tetamu lain.-EDISI UKAS