Program Pengagihan Bubur Lambuk Hidupkan Tradisi Ramadan Di Sri Aman
SIMANGGANG: Tradisi Ramadan terus dihidupkan menerusi Program Pengagihan Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Simanggang yang diadakan di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar pada Ahad.
Program yang bermula pada jam 3.30 petang itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi SABERKAS cawangan Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
Beliau ketika ditemui berkata, program ini adalah merupakan aktiviti tahunan SABERKAS cawangan Simanggang dengan sejumlah 560 bungkus bubur lambuk telah pun diagih dalam kalangan penduduk di kawasan taman terbabit.
"Untuk makluman, kesemua bubur lambuk berkenaan telah dimasak oleh ahli SABERKAS cawangan Simanggang bertempat di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Lawrence, Sabu.
"Program ini telah mendapat kerjasama daripada kakitangan sokongan SK Saint Lawrence, Sabu dengan penduduk setempat turut mengambil bahagian dalam memasak dan membungkus juadah makanan terbabit," katanya.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, pogram bubur lambuk ini bukan sahaja menghidupkan semangat Ramadan tetapi juga mengukuhkan semangat kebersamaan antara ahli SABERKAS dan penduduk setempat.
"Justeru, saya berharap agar SABERKAS cawangan Simanggang dapat terus memperkasakan program seperti ini agar generasi muda sentiasa dekat dengan nilai murni dan budaya kita sepanjang masa," katanya.
Terdahulu, Datuk Harden bersama isteri, Datin Simba Nalang pada pagi itu telah berkunjung ke SK Saint Lawrence, Sabu, untuk meninjau lokasi memasak dan seterusnya melakukan simbolik mengacau bubur lambuk.
Ketibaan mereka disambut oleh Setiausaha SABERKAS cawangan Simanggang merangkap Pengerusi Pengelola Program Alfred Kendim bersama ahli SABERKAS serta kakitangan SK St Lawrence. -EDISI UKAS